Friday, March 25, 2011

hakikat iman

bismillahirramanirrahim

pada suatu petang di sebuah restoran :
s: jom order makan!
d :ok.!kak, nasi ayam penyet bungkus satu. minum tak yah.
s: bagi saya mee bandung, makan dengan limau suam.
waiter:ok!
s: kenapa ko bungkus? asal tak order minum?
d: aku puasa la hari ni.
s: la hari ni selasa. ko puasa apa?
d: puasa ganti. aku kan bersalin masa bulan puasa tahun lepas.nak kena ganti 30hari ko tau!
s: wah banyaknya! takpe2. bagus2. kenapa tak bilang siang2 ko puasa? tau tadi aku bungkus je.
d: takpe. aku tak kisah. biar laki aku yang amek budak-budak kat nurseri.
s: suka hati ko la...eh!aku la kena hantar ko balik rumah ni?
d: ye la. dah ko yang ajak aku makan kat sini! aku plan nak beli kat kedai makan depan rumah aku tu je, da ko ajak aku terima je.
s: hm pape la.ok nak menikmati mee ni. jangan tergoda na..
20minit kemudian, jam menunjukkan pukul 7.10mlm.
d: eh cepat! jom hantar aku balik. dah nak azan ni.
s: ok3 jom2.
setelah tiba di rumah dan selesai berbuka puasa:
s:eh aku nak tumpang solat jap.
d: ok naiklah. kiblat pukul 2.
s: ok. auntie naik kejap ya suhail.
setelah selesai solat:
s: astaghfirullah! dahsyatnya!! suhail! kenapa kentang goreng ni bersepah kat lantai?!
d: biasa la tu. biar dia main. jap lagi aku mop lantai.
jam menunjukkan pukul 8
s:eh ko x solat maghrib lagi kan?
d:ala, kalau aku solat nanti budak ni sape nak jaga?larat ke ko nak jaga sorang2? xpe la nanti laki aku balik aku qada' la..
s: weh ko!mana boleh main suka2 je nak qada. suka2 je nak tinggalkan pastu qada'..ala setakat suhail ni aku boleh la jaga sorang. ko pegi la solat dulu. da nak abes waktu ni.
d: ye la. ko jaga dia ea

pengajaran: inilah kondisi masyarakat islam di Malaysia. puasa, tapi tak nak solat. sedangkan keduanya merupakan kandungan rukun islam itu sendiri. bagaimana mengaku islam tapi masih tak solat? kes lain, solat tapi tak nak tutup aurat. bertudung tapi xmahu solat. padahal keduanya juga merupakan perintah Allah. apakah itu iman?
skema PMR: beri'tiqad di dalam hati, membenarkan dengan lisan dan membuktikan dengan anggota.
perkataan dan serta simbol koma yang digunakan. bermaksud tiada pilihan. iman, perlu ada ketiga2nya.
kalau betul beriman kena tutup aurat. kena ada pembuktian keimanan tu. iman bukan hanya di lisan, iaitu hanya mengatakan, aku beriman pada Allah. tapi perlakuannya tidak seiring dengan ucapannya. mengaku beriman tapi masih tidak menutup aurat. mengaku beriman tapi masih x mahu solat. tak menepati pengertian iman itu sendiri. jadi, kerana itu iman perlu kepada pembuktian amal. (6:158)
iman yang ada pada kita perlu dibuktikan dengan amal. jika tidak, tak diterima iman seseorang itu yang belum berusaha melakukan kebajikan dengan keimanan yang ada padanya itu.

solat merupakan perkara pertama yang akan di hisab Allah kelak di yaumul qiyamah. jadi, mengapa masih ada yang main2 dengan kewajipan solat? masih ada yang mengambil ringan tentang pelaksanaan solat. dalam kisah di atas tadi, de ceritakan seorang ibu yang berpuasa ganti, tapi tak nak solat pada waktunya. sedangkan Allah berfirman;

Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya” (Surah an-Nisa’, ayat 103). "
jadi, jelas di sni bahawa solat itu tertentu waktunya. ada waktu2 nya sendiri. jadi, janganlah kita membuat ketetapan sendiri dengan membawa solat maghrib ke waktu isyak. (ini bukan kes jamak taqdim. harap maklum)
 
terakhirnya, pesan buat shinju dan pembaca sekalian, berislamlah secara keseluruhan. islam tidak hanya mewajibkan kita berpuasa, bahkan solat juga wajib. tak boleh pilih nak yang mana satu. perlu ambil keduanya. islam tak hanya menuntut utk menunaikan solat, tapi juga menutup aurat. jadikanlah islam sebagai panutan secara total. jangan ambil mana yang sesuai dan mudah, kemudian yang sukar lagi menyusahkan di tinggal. jangan! semuanya aturan Allah. ikutilah. aturan Allah buat hamba2Nya sangat cantik. (2:208)

Monday, March 14, 2011

Kasih sayang Allah

bismillahirramanirrahim

di kala kita sdg bermaksiat, Allah tidak terus menghukum kita. bahkan di beri tenggang waktu agar manusia kembali kepadaNya. namun, dalam ruang kesempatan yang semakin menyempit hari demi hari, manusia jarang menyedari dan memanfaatkannya. bila mana diuji dgn nikmat, jarang sekali kita melihat manusia yang kembali kepada Allah. namun, hebatnya ujian dalam bentuk musibah apabila ia menimpa seorang hamba, lalu segera diri meneliti dosa-dosa semalam. Ujian Allah itu dalam pelbagai bentuknya. sama ada nikmat yang baik-baik atau bencana yang buruk-buruk (7:168) dan tidak lain tujuannya, semata-mata agar manusia kembali kepadaNya.

tika kita diuji, zahirkan segenap kesyukuran kerana itulah tanda kasih sayang Allah. Pesanan buat diri jua. Musibah yang melanda adalah teguran Allah. Mungkin kita sudah lama tidak merintih kepadaNya dalam tahajjud kita. Mungkin tangisan kita di sepertiga malam itu adalah gombal belaka. masih tiada ikhlasnya, tidak sepenuh jiwa. Lalu, Allah menjadi "doktor" untuk merawat "penyakit" kita itu. DiberiNya "rawatan" berbentuk musibah kerana hanya dengan musibah, manusia akan kembali menyerah diri sepenuhnya pada Allah. Semoga musibah yang melanda menambah kedekatan hati kita, keterikatan hati kita, penyerahan total diri kita, kepada Allah 'Azza wajal..

"rabbi  la takkilni ila ghairik ila nafsi fa 'ajjastu 'anha wala takkilni ila ghairik. fa dhoiyi'uni"

-Allah, ku serah segalanya padaMu-

selamat datang ikrimah ke dalam hidupku..-inshaAllah lagi 3minggu- moga shinju dapat lebih cermat dijalan raya denganmu..moga keberanian, kesabaran, kecekalan, kepahlawanan ikrimah sejati membaja padamu. moga kenangan dan tragedi semalam dapat mendidikku.

Thursday, March 10, 2011

diari

bismillahirramanirrahim

alhamdulillah Allah masih beri nikmat masa tenaga dan sekian banyak nikmat lainnya utk shinju meneruskan penulisan pada pagi yg hening ini. sungguh sunyi sepi dan tenang. ditambah dengan ketiadaan rumate di sisi. ada halaqah mungkin.. seharian tak ketemu. shinju tidur dulu jam 10pm tadi. masa dia balik, shinju sedar tapi berat mata nak buka. jadi, teruskan je tidur. ok, jom masuk topik!

dalam surah An -nahl ayat 30 (16:30)

"dan kemudian dikatakan kepada org yg bertaqwa, "apakah yg telah diturunkan oleh Tuhanmu?" mereka menjawab, "kebaikan". bagi org yg berbuat baik didunia ini mendapat (balasan) yg  baik. dan sesungguhnya negeri akhirat pasti lebih baik. dan itulah sebaik-baik tempat bagi org yg bertaqwa."

Allahuakbar.....itulah dia jawapan dari org yg bertaqwa. tiada sesuatu yg diturunkan Allah kepadanya ketika didunia melainkan kebaikan belaka. Bila mana dikurniakan suatu nikmat, dia bersyukur. maka itu adalah satu kebaikan buatnya dan dikala ditimpa satu musibah, lalu dia bersabar. maka sabar itu adalah satu kebaikan juga untuknya [hadis] indah sungguh padanan dalil dan hadis ini.

hari ini shinju pergi ke pusat kesihatan UTM setelah 2hari merasakan simptom2 demam. hajat dihati nak teruskan pergi ke kelas seterusnya setelah gap sejam kelas numet. tapi dek kerana tekak yang perit dan hidung yang x sudah berair, gap sejam digunakan utk ke pusat kesihatan. untung habis kelas numet 30minit awal. sebab nak tunggu giliran jumpa doktor sangat lah lama. hampir sejam 20minit shinju tunggu nak jumpa doktor. belum tunggu nak ambil ubat lagi..haish~ sepanjang sejam lebih menunggu tu, shinju tak bawa apa-apa bahan bacaan langsung. lenggang kangkung je pergi PK. bawak kat matrix dengan kunci kereta je. tiba2 bile dah scan queue number, nampak ada seseorang sedang membaca. ha! baru sedar, dah lama juga tak baca buku selain buku akademik.. oleh kerana kereta parking jauh dan tak larat dah nak meredah pagi yang terik benar mentarinya, shinju pun duduk je melangut depan TV kat PK tu. nak bersembang takde kawan dan takde mood pun. sakit tekak kan.. tapi sepanjang tgk TV tu, ada beberapa rancangan menarik yg shinju nak kongsi di sini.kebanyakan program2 di TV3 khususnya pada waktu pagi adalah berbentuk ilmiah. tapi yg silap adalah gaya pengacara yg menampakkan program itu sangtlah santai. shinju tak ingat apa tajuk program tu. saji kot. dia jelajah ke warung2 sekitar selangor utk menjejak resepi mee jawa. di amati betul2, mee jawa itu adalah mee rebus! kat johor panggil mee rebus. mungkin kat selangor panggil mee jawa. benda yang sama nama berbeza. tapi di johor mee rebus ni dah sangat memasyarakat dikalangan penduduk di sini. jadi harganya pun standard macam bihun sup la. kalau macam kat UTM, especially kat fakulti shinju, mee rebus ni dijual time lunch, sekali dengan soto mee. harganya RM2.50. tapi kat selangor tu, harganya mencecah RM5! dua kali ganda tu! mungkin kerana namanya. -JAWA- nampak la konon2 resepi jauh dari seberang..padahal nak buat dia simple je. macam ni cara2nya:

mee rebus@mee jawa:
1. masukkan satu sudu bawang putih dan merah yg diblend
2. masukkan satu sudu besar serbuk kari
3. masukkan satu sudu besar serbuk cili.
4. satu mangkuk kentang rebus yg dah siap di mashed kan.-letak air sikit kentang lenyek tu tapi jangan banyak. tujuan bahan ni hanya utk memekatkan kuah sahaja. jadi, jgn byk sgt air-

5. letakkan gula sedikit-sape x tahan pedas, lebihkan sikit gula-
6. masukkan garam secukup rasa.
7. biarkan mendidih dan ramuan semua sebati.

sebelum tu, pastikan anda telah pun mencelur (tepatkah penggunaan tatabahasa ni?) mee kuning. celur sampai kembang. tapi jangan kembang sangat. di dahului dengan basuh dulu ya mee tu! kemudian rebuskan telur beberapa biji. bergantung dengan kuantiti org yg nak  makan.

setelah siap kuah tadi, tutup api! letakkan mee kuning atas mangkuk @ pinggan dan taburi dengan daun sup, bawang goreng, tauhu goreng, daun bawang, cili merah dan hijau yg dihiris halus dan telur yg dah di belah2. kemudian, siramkan kuah keatas mangkuk atau pinggan tu. kalau shinju, suka tuang sampai banjir. sampai xnampak mee. tapi kalau tak tahan pedas jangan buat macam ni ya. letak kuah sikit je. asal kena mee cukup.

ok ini resepi hari ini! sebenarnya shinju tak pernah masak sendiri dan tak tahu pun ramuannya. tahu makan je. baru hari ini tahu macam mana nak buat. bolehlah cuba weekend ni kat rumah. kasi impressed sama ayah!

next adalah program seri. oleh kerana lama menunggu, so, sempat dua program shinju tonton. program seri ni khas utk wanita. ada satu slot bersama Dr Aidil yg membicarakan tips2 utk tampil sihat dan berseri. shinju tak dengar sangat dia cakap apa. cuma dapat tangkap sikit2 je. tapi, apa yg penting, nak cantik dan sihat. amalkan pengambilan vitamin c secara rutin. antara sedikit yg shinju dapat tangkap. banyak sumber vitamin c ni. tapi sekarang dekat farmasi pun dah bole beli kapsul vitamin c. tapi jika cenderung untuk mendapatkan dari sumber yg asli, makanlah buah oren, apricot dan x ingat apa lagi. ha carilah sendiri. shinju pun prefer makan kapsul je. senang. hisap je. xyah nak kupas kulit ke apa ke...

akhirnya tiba giliran shinju utk jumpa doktor. yeah! Dr nurul sangat care. first time rasanya di treat sebaik itu oleh doktor kat PK UTM. biasanya doktor lain treat nak x nak je.. dan shinju dapat vitamin c free! wah! terima kasih Dr Nurul! dan banyak lagi ubat yg lain. Dr nurul pesan, kawal suhu badan jangan bagi naik lagi. jadi, kalau dapat, kerapkan mandi utk turunkan suhu. dan makan panadol juga utk kawal suhu.(suhu shinju tadi adalah 38 degree) tak panas pun tapi cukup utk diklasifikasi sbg demam. pastu, Dr nurul pesan lagi, jangan berselubung atau pakai sweater atau yang sepertinya sebab itu hanya akan memendam haba lalu menaikkan lagi suhu badan. panas tu kena lepaskan. kalau lepas ni, batuk datang, tak perlu ambil ubat selesema sebab dekat ubat batuk dah ada sikit ubat selesema.
shinju ni memang selalu kalah dengan ubat batuk. kalau minum gerenti pengsan.-tido- jadi, doakanlah shinju xbatuk ya. alhamdulillah sekarang ni suhu dah agak stabil, sejak balik dari koQ petang tadi. badan kejap panas kejap sejuk. pastu rasa nak tido je, tapi kakak pesan, jangan malas2, pergi mandi!! pastu makan panadol. mesti segar.. hari ni je x tau la berapa kali mandi. tapi alhamdulillah badan dah tak panas. kepala pun dah ringan sikit. di tambah dengan lab repot yang baru usai disiapkan! yeah!!! jadi, kesempatan yg ada selagi mata xmengantuk ni, shinju guna utk mencoret di blog yang bersawang ni..

kesimpulannya, demam atau apa2 sakit yang lain adalah penghapus dosa. jika dari satu sudut kita nampak ia adalah satu musibah, tapi dalam surah an nahl ayat 30 tadi, org bertaqwa claim bahawa tiada keburukan yg diturunkan kepadanya..semua adalah kebaikan....jadi moga demam ini menambah lagi rasa penghambaan dalam diri ini...
wassalam...





gambar hiasan

Saturday, March 5, 2011

sayang isteri tangan2kan sayang kerajaan???

bismillahirramanirrahim


Surat Seorang Remaja Kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib
----------------------------------------------------------------------------------------
Assalamualaikum Dato’ Seri.
Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin dalam ruang demokrasi tidak pula mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya ini dibaca Dato’ Seri.
Dato’ Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata).
Saya juga mampu membaca suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. Saya sering ‘singgah’ di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya.
Tidaklah pula saya katakan yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya cuma mahu tegaskan saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan kerjanya sehari-hari hanyalah makan, tidur, ‘menelan’ buku teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini.
Izinkan saya Dato’ Seri untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak, seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang InsyaALLAH kelak, kamilah yang akan membuang undi!
Dato’ Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting. Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW.
DASAR
Saya, yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini percaya bahawa setiap tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato’ Seri?
Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?
Maaf Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato’ Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.
Saya amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’ Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.
Saban hari saya dan rakan-rakan menerima berita dari segenap pelusuk negara, sama ada dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, ‘hilang’ nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’ maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’ akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan! HILANG Dato’ Seri, HILANG!
Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut Dato’ Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya masa depan negara tercinta ini!?
PELAN TRANSFORMASI EKONOMI
Program Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri turut menggariskan perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga kerajaan pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.
Kerajaan Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.
Maka menjelang 2014 negara kita akan memiliki sekurang-kurangnya 10 kelab malam di zon hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.
Dato’ Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana seorang penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda dengan kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.
Izinkan saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca timbangan ketika Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih suka untuk diletakkan sebagai neraca timbangan?
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar bahawa perancangan Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran? Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala besar yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau lebih muda hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.
Iya, Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para cerdik pandai generasi akan datang dengan lambakan hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, iaitu hilang upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato’ Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya ‘menelan’ hiburan-hiburan ini?
IFF dan AURAT
Dato’ Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan, “Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar bertitah demikian kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.
Dato’ Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya waktu melihat Dato’ Seri dan isteri melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam) yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?
Saya dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’ berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini?
JUDI
Bukan sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan pemberian lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak apakah harapan Dato’ Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini?
Apakah ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri gembira dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?
Apakah Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka dengan wang hasil judi yang mereka perolehi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri sebenarnya?
Apakah keputusan-keputusan ini ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti?
KEMISKINAN dan HARGA NAIK
Dato’ Seri orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali jika tidak jadi Perdana Menteri Malaysia pun Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga kaya raya.
Maka tidak kiralah jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau RM 10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah. Tidak perlu berjerih payah.
Tahukah Dato’ Seri, di celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang menderita lewat kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan pengurusan. Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah sebagai penilainya adalah pengurusan yang menghancur!
Dato’ Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato’ Seri, untuk menyekolahkan anak pun sudah membuatkan mereka terpaksa membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada membantu).
Kadang-kadang, apabila anak-anak yang bersekolah meminta wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa terpaksa menghulur dalam titis air mata. Sudahlah hutang yuran persekolahan pun masih belum dilunas. Bukan sedikit keringat yang dicurah demi sesuap rezeki halal untuk anak-anak dan keluarga.
Kerajaan Dato’ Seri jangan terlalu bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai kemampuan rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat yang terseksa dan merana kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali harga minyak atau keperluan utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20 sen, mengalirlah air mata rakyat yang menanggungnya.
Rakyat benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah dipenuhi. Janji itu dan ini sekadar untuk meraih undi. Waktu menang nanti kami rakyat sudah dilupai. Tinggal kami bermatian berusaha keras sendiri.
SUARA RAKYAT
Waktu rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi untuk meluahkan rasa yang terbuku di hati dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami ‘perusuh-perusuh’ yang membantai tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia yang saya yakin, Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan peritnya.
Dan menteri-menteri Dato’ Seri tanpa rasa bersalah menggelarkan kami sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh melulu itu bisa memahami pedihnya hati ini.
Semuanya adalah kerana kami rakyat yang mahu berkongsi rasa dengan pimpinan negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang kecil untuk kami bercerita dan berkongsi betapa peritnya kehidupan yang kami rakyat lalui.
Pernahkah Dato’ Seri pedulikan suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya Dato’ Seri menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat yang tidak menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli? Pernahkah Dato’ Seri?
Dato’ Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan rakyat. Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun dengan aman dan baik. Media di bawah kawalan Dato’ Seri juga menggunakan segala maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’ yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga menggali hujah-hujah agama demi membuktikan tindakan kami bersuara adalah bercanggah pada sisi agama.
Dato’ Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah perhimpunan anjuran Dato’ Seri pada setiap malam menunggu detik Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana jugalah yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat, kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada setiap kali sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan rakyat membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi penyebab anak-anak muda ditangkap khalwat?
Dan pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu menegur Dato’ Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan rakyat yang bersuara sebagai Bughah (derhaka) dan menuju Maksiat!?
REFORMASI
Saya dan juga rakan-rakan adalah remaja muda yang punya sikap, punya pendirian. Kami berazam untuk mengubah keadaan ini Dato’ Seri. Kami berazam dan bertekad bahawa seluruh diri kami akan diperguna untuk memperbaiki keadaan punah ini.
Kaedah merubah itu 2 Dato’ Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri. Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.
Jika sampai masanya untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi pulih, percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk siapa yang layak menerima undi kami nanti.
Tidak cukup dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti agar pentadbiran, pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan beroleh tempat tertinggi di negara ini.
Dato’ Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan. Kerana inilah tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama Mu’min itu bersaudara?
Dato’ Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Dato’ Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf kerana mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada silap dan salah pada lenggok bahasanya. Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri meluangkan masa untuk mengambil perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu penghormatan buat remaja seperti saya.
Namun Dato’ Seri, kiranya ada pada surat ini ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati, kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH PENCAK KAMI!
Sekian, terima kasih.
p/s - p/s : Salam alaik. Sila sebar-sebarkan untuk tatapan setiap remaja dan rakyat Malaysia yang inginkan perubahan. Demi ISLAM kita berjuang..!!

sayangkan kerajaan???

Followers